BUTTERWORTH: Sebanyak 35 motosikal disita manakala 167 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Motosikal di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Bagan Ajam, awal pagi hingga tengah hari tadi.

Operasi bermula jam 1.30 pagi hingga 12 tengah hari itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seberang Perai Utara (SPU) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman, berkata pemeriksaan terhadap 119 motosikal dan 126 individu mendapati pelbagai kesalahan dilakukan pengguna jalan raya.

Beliau berkata, kesalahan tertinggi dikesan ialah nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dengan 45 saman, diikuti gagal mempamerkan lesen percubaan (P) sebanyak 41 saman.