BAYAN LEPAS: Seorang pengurus kilang direman sehari bagi membantu siasatan kemalangan maut membabitkan kereta dipandunya dengan sebuah motosikal di Jalan Kampung Jawa, Bayan Baru, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab, berkata lelaki berusia 49 tahun itu ditahan ketika hadir ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian berkenaan.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing dan alkohol terhadap lelaki terbabit mendapati dia negatif daripada pengambilan dadah serta minuman keras.
"Mahkamah Majistret Balik Pulau membenarkan lelaki berkenaan direman selama sehari bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi, hari ini.









