PAPAR: Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengemukakan memorandum kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mendesak siasatan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1 diperluaskan, termasuk meneliti punca dan implikasi penamatan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) pada 2019.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata siasatan PAC perlu turut merangkumi keputusan menamatkan model berkenaan dan beralih kepada kaedah konvensional, susulan pertukaran pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan pada 2018.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, perkara itu wajar diteliti kerana jawapan rasmi Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Rakyat sebelum ini menyatakan penamatan model PDP sebagai antara punca utama kelewatan projek Pan Borneo Fasa 1B.









