KUALA LUMPUR: Kenaikan ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi acara berpasukan hadir tepat pada masanya buat pemain hoki kebangsaan, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, yang bakal menyambut kelahiran cahaya mata sulungnya minggu depan.

Biarpun belum mempunyai perancangan khusus untuk menggunakan wang insentif berkenaan, pemain itu menganggap peningkatan ganjaran yang diterimanya sebagai rezeki tambahan menjelang detik bermakna dalam kehidupan berkeluarga.

Nik Muhammad Aiman berkata, dia amat bersyukur apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil kira pengorbanan atlet dalam acara berpasukan menerusi penambahbaikan kadar ganjaran berkenaan.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana KBS dapat memberikan insentif ini dan melihat perjuangan kami sebagai sebuah pasukan. Saya berterima kasih kepada KBS atas penghargaan ini," katanya ketika ditemui selepas aksi terakhir Liga Hoki Malaysia (MHL) Premier 2026 di Stadium Hoki TNB, Bangi, semalam.