Serdang: SSMT JR C dan New Impact B bakal membuat perhitungan di pentas final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Tengah-Selatan selepas masing-masing melepasi halangan lawan pada aksi separuh akhir di Akademi Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM).

SSMT JR C terlebih dahulu mengesahkan kemaraan apabila mempamerkan aksi meyakinkan untuk menundukkan MBPG menerusi kemenangan straight set 15-12, 15-12.

Kemenangan itu menyaksikan SSMT JR C terus menghidupkan peluang memburu gelaran juara zon selepas berjaya mengekalkan rentak permainan bagi menafikan cabaran MBPG.

Turut mengiringi kemaraan ke final ialah New Impact B yang terpaksa bekerja keras sebelum bangkit menewaskan Warisan B dalam aksi tiga set 10-15, 15-9, 15-7.