Manila: ASEAN perlu fokus dalam usahanya memperkukuh pelaksanaan transformasi digital merentasi rantau ini dengan memanfaatkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia selaras dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 yang menuntut integrasi ekonomi serta pembinaan asas institusi yang kukuh serta pertumbuhan mampan sekali gus memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat.

Justeru, katanya, Malaysia mengalu-alukan pemeteraian bersejarah perjanjian DEFA yang berpotensi membantu ASEAN menggandakan saiz ekonomi digital serantau kepada AS$2 trilion menjelang 2030.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan pembangunan dan tadbir urus teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin mempengaruhi landskap ekonomi dan keselamatan global tidak sewajarnya dimonopoli segelintir syarikat teknologi gergasi dunia atas kepentingan komersial.