SEPANG: Peluang Marco Bezzecchi mencabar kejuaraan dunia MotoGP 2026 semakin tipis selepas kehilangan 17 mata kepada pencabar utama, Marc Marquez pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, Ahad lalu.

Pelumba Aprilia itu kini ketinggalan 67 mata di belakang Marquez selepas hanya mampu menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam, sekali gus berdepan tugas sukar menjelang pusingan seterusnya di Qatar, Ahad ini.

Situasi itu semakin merumitkan apabila Bezzecchi sebelum ini turut kehilangan enam mata kepada Marquez pada GP Australia di Phillip Island.

Dengan saingan di Lusail semakin hampir, Bezzecchi tidak boleh kehilangan lebih lapan mata kepada Marquez sepanjang hujung minggu perlumbaan, atau tujuh mata sekiranya juara bertahan itu memenangi GP Qatar.