Tanpa sedar berlalunya masa, musim konvokesysen di setiap universiti di Malaysia telah pun tiba. Maka ramailah mahasiswa yang akan menuju ke alam pekerjaan. Tahun demi tahun berlalu dengan pembangunan ekonomi moden yang dipacu oleh teknologi, inovasi dan persaingan global menjadikan pendidikan tertiari menjadi fokus utama.

Tahap pendidikan tertiari kini sering dianggap sebagai tiket utama untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan menjamin kehidupan lebih stabil. Selain itu, rakyat Malaysia semakin menyedari kepentingan memiliki kelayakan akademik menyebabkan semakin ramai melanjutkan pengajian ke peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

Namun, di sebalik peningkatan jumlah individu yang memiliki kelayakan akademik, satu persoalan penting terus timbul, mengapa pasaran pekerjaan di Malaysia masih berhadapan jurang kemahiran? Fenomena ini berlaku apabila seseorang individu memiliki kelayakan akademik yang tinggi, tetapi kemahiran praktikal, teknikal dan profesional dimiliki belum memenuhi keperluan sebenar industri. Keadaan ini menunjukkan pencapaian akademik semata-mata tidak lagi mencukupi untuk memastikan seseorang individu benar-benar bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.