JOHOR BAHRU – Bangsa Johor diingatkan jangan mudah terpengaruh dengan penyebaran maklumat yang mencurigakan dan dakwaan tidak berasas berkaitan projek pembangunan serta kemudahan awam di negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya akan membuat laporan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia supaya siasatan dapat dilakukan ke atas sejumlah media sosial yang mencurigakan.
Katanya, perkara tersebut menimbulkan keraguan kerana sebahagian besar hantaran menggunakan ayat dan naratif hampir sama, termasuk mendakwa wujud projek bernilai ratusan juta ringgit serta menyebut nama syarikat yang meragukan.
Menurut beliau, sebahagian besar akaun berkenaan pula didapati tidak mempunyai pengikut, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tujuan kewujudan dan aktiviti akaun berkenaan.








