Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya Tinggi UK Ajay Sharma CMG di Balai Menghadap Biru, Istana Arau. (Gambar Istana Arau)PETALING JAYA: Perlis berpotensi menarik lebih banyak pelaburan British khususnya dalam sektor perindustrian, logistik dan semikonduktor hasil peluasan kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak.

Potensi itu dibincangkan ketika Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom (UK) ke Malaysia, Ajay Sharma CMG di Istana Arau.

Ajay, yang berada di Perlis bagi lawatan kerja dua hari pada semalam dan hari ini, mencadangkan supaya negeri itu meneroka potensi syarikat British yang sudah beroperasi di Malaysia dan selatan Thailand untuk mengembangkan operasi serta pelaburan mereka ke negara ini.