KUALA LUMPUR: Segelintir penggiat seni dikesan tidak mempunyai akaun bank selepas terjerumus dalam kancah muflis, menyebabkan mereka terpaksa meminta bayaran kerja atau 'job' dibuat secara tunai.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib mendedahkan pihaknya menyedari perkara itu apabila individu terbabit enggan menerima bayaran melalui transaksi perbankan rasmi bagi tugasan atau projek ditawarkan pihaknya.

Tambah Azmir, situasi itu bukan sahaja menyulitkan penggiat seni terbabit, malah meletakkan agensi kerajaan seperti FINAS dalam dilema kerana setiap urusan pembayaran tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) kewangan yang ketat.