ANGKA 5,681 kes buli dilaporkan di sekolah seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini sepatutnya memberikan peringatan keras kepada semua mengenai tahap keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita. Kes itu merangkumi buli fizikal, lisan, bukan lisan dan siber, menunjukkan ancamannya tidak boleh dibataskan kepada tumbukan, tendangan atau peras ugut.
Ini kerana perbuatan mengejek nama, menghina rupa atau latar keluarga, memulaukan rakan, menyembunyikan barang atau 'menyerang' seseorang secara dalam talian mungkin dianggap kecil pada zahirnya. Namun, apa juga bentuk buli boleh meninggalkan trauma, menjejaskan harga diri serta emosi mangsa, manakala perbuatan dibiarkan berulang berisiko membentuk karakter pembuli yang menganggap penghinaan, dominasi dan kekerasan sebagai perkara biasa.








