Dr Muhammad Hisyam Mohamad

Pernahkah kita membuka aplikasi e-dagang sekadar untuk melihat-lihat, tetapi beberapa minit kemudian tanpa teragak-agak, satu atau dua barangan sudah berada dalam troli dan pembayaran pun selesai dilakukan, sedangkan pada awalnya kita tiada niat untuk membeli barangan tersebut?

Namun, apabila terlihat jenama barangan kegemaran menawarkan potongan harga yang besar, ditambah pula dengan notis seperti 'stok terhad' atau 'tawaran tamat malam ini', keinginan untuk membeli tiba-tiba muncul. Tanpa sempat memikirkan sama ada barangan itu benar-benar diperlukan, butang checkout pun ditekan.

Dennis W Rook menerusi kajian klasiknya, The Buying Impulse, menjelaskan pembelian impulsif sebagai keadaan apabila pengguna mengalami dorongan tiba-tiba dan kuat untuk membeli sesuatu dengan segera. Dorongan itu muncul secara spontan dan mendorong tindakan pantas berbanding keputusan yang dibuat melalui pertimbangan yang sewajarnya.