Pada hari ini, telefon pintar bukan lagi sekadar berfungsi sebagai alat komunikasi. Peranti ini telah berkembang menjadi dompet, kaunter bank, pejabat, pusat membeli-belah dan tempat menyimpan pelbagai maklumat peribadi. Pelbagai urusan harian kita, daripada membuat bayaran dan membeli barangan hingga berhubung dengan agensi kerajaan, bergantung pada aplikasi dan sistem digital.

Di sebalik segala kemudahan itu, ada satu persoalan penting yang jarang kita fikirkan: Sejauh mana aplikasi yang kita gunakan benar-benar selamat dan boleh dipercayai?

Kita menyerahkan nama, nombor telefon, alamat, maklumat kewangan dan kadangkala salinan dokumen pengenalan kepada sistem yang kita sebagai pengguna tidak tahu cara pembinaannya.