KUALA LUMPUR: Bukit Aman sedang berusaha mengesahkan kewarganegaraan seorang lelaki dipercayai rakyat Malaysia yang maut dalam serbuan dadah membabitkan rampasan syabu bernilai RM858,000 di Tawi-Tawi, selatan Filipina, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan, berkata dakwaan awal suspek itu adalah rakyat tempatan dibuat berdasarkan penemuan kad klinik swasta yang dikeluarkan di Sabah bersamanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa Filipina sudah berkongsi maklumat insiden itu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun kewarganegaraan lelaki berkenaan belum dapat dipastikan berikutan tiada dokumen pengenalan diri rasmi ditemui padanya.

"Kita sudah menerima perincian kes daripada Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) dan sedang berusaha mengenal pasti identitinya," katanya ketika dihubungi hari ini.