KUALA LUMPUR: AEON Credit Service (M) Bhd menerbitkan siri ke-14 sukuk senior di bawah Program Sukuk Wakalah bernilai RM10 bilion, dengan nilai nominal keseluruhan RM460 juta menerusi dua tranche.

Penyedia pembiayaan pengguna itu berkata tranche pertama bernilai nominal RM325 juta mempunyai tempoh matang tiga tahun dari tarikh penerbitan.

Tranche kedua bernilai RM135 juta pula mempunyai tempoh matang lima tahun, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

AEON Credit berkata, hasil daripada penerbitan sukuk itu akan digunakan untuk membiayai penyaluran pembiayaan kepada pelanggan dalam kegiatan perniagaan pembiayaan pengguna yang dijalankan mengikut prinsip Syariah.