KUALA LUMPUR: Exsim Hospitality Bhd menerusi anak syarikatnya, Blossom Hectares Sdn Bhd (BHSB) memeterai perjanjian opsyen beli dengan Iconic Insight Sdn Bhd bagi memudah cara cadangan pembelian Menara F di Empire City, Damansara Perdana, Selangor pada harga RM226 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu memberitahu harga pembelian yang dicadangkan mewakili diskaun sebanyak RM2 juta atau kira-kira 0.877 peratus berbanding nilai pasaran bangunan itu iaitu RM228 juta.

Menara F kini dalam pembinaan dan dijangka siap pada suku pertama 2027.

Harga pembelian berkenaan akan dijelaskan sepenuhnya secara tunai dan dibiayai menerusi gabungan pinjaman bank serta dana yang dijana secara dalaman.