Kuala Lumpur: Bukit Aman sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan rangkaian sindiket dadah di Malaysia susulan penahanan lima rakyat negara ini bersama rampasan 240 kilogram (kg) syabu di negara jiran itu, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya menerusi pasukan JSJN Kedah dan Perlis sedang mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Thailand bagi memperluas siasatan.

"Kerjasama Biro Pembanterasan Narkotik (NSB) Bangkok serta Polis Diraja Thailand (RTP) diperlukan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai lima rakyat Malaysia yang ditahan.

"Maklumat itu juga penting bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang disyaki terbabit di Malaysia," katanya ketika dihubungi hari ini.