KUALA TERENGGANU: Syarikat antarabangsa, McCormick Global Ingredients Malaysia Sdn. Bhd. memutuskan untuk menamatkan operasi perladangan lada hitam di Lembah Bidong secara berperingkat bermula 31 Januari hingga 30 Jun 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat oleh ibu pejabat syarikat berkenaan di Amerika Syarikat susulan penggabungan McCormick dengan Unilever Food.
Menurutnya, keputusan komersial itu bukan disebabkan sebarang masalah atau faktor berkaitan kerajaan negeri, sebaliknya sebahagian daripada penstrukturan semula hala tuju perniagaan syarikat berkenaan.
“Mereka menetapkan semula hala tuju perniagaan untuk tidak lagi terlibat dalam sektor perladangan, sebaliknya kembali kepada perniagaan teras mereka dalam industri pemprosesan,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, hari ini.








