Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim susulan kemelut semasa yang melanda negeri itu.

Difahamkan, sesi menghadap itu bermula kira-kira 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang sementara butiran lanjut mengenainya belum dapat dipastikan.

Semalam, Ismail, 67, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dilaporkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Pagi tadi, Istana Negeri Sembilan memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).