KUALA LUMPUR: Biarpun keputusan tempat keempat pada Eurovision Song Contest Asia 2026 mengundang rasa terkilan dalam kalangan peminat, penyanyi Datuk Ziana Zain mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu kecewa kerana Aina Abdul sudah memberikan persembahan terbaik dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Malah, Ziana menyifatkan penyertaan Aina dalam pertandingan berprestij itu sebagai satu langkah penting membuka mata dunia terhadap kemampuan penyanyi Malaysia yang memiliki bakat dan kualiti tersendiri.

Katanya, kehebatan vokal Aina tidak perlu dipertikaikan, justeru peminat seharusnya berbangga dengan pencapaian penyanyi itu meskipun tidak berjaya menduduki kedudukan lebih tinggi.