MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand R Marcos Jr menyuarakan keyakinan bahawa Singapura akan menerajui ASEAN dengan "matlamat yang jelas, keteguhan serta komitmen terhadap kerjasama serantau" ketika blok itu melangkah ke tahun ke-60 penubuhannya.

Beliau berucap pada majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini pada Selasa, yang menyaksikan Filipina menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Singapura bagi tahun 2027.

"Kami menghulurkan persahabatan serta sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi," katanya yang ditujukan kepada Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dan rakyat negara itu.

Mengimbau tempoh setahun Filipina sebagai pengerusi, Marcos berkata temanya, "Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama", mencerminkan usaha memperkukuh perpaduan dan kerjasama ASEAN.