Menteri Khaled Nordin berkata Kementah adalah klien dan amat dukacita serta tidak selesa dengan kelewatan dan prestasi pembinaan LCS. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berharap Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (Lunas) tidak lagi memberikan alasan berhubung penyerahan kapal tempur pesisir (LCS) kepada Kementerian Pertahanan (Kementah).

Kementah berharap tarikh baharu penyiapan dan penyerahan LCS pada April 2027 dapat dipatuhi tanpa sebarang perubahan lagi, katanya.

"Sebagai pembeli, sudah pasti Kementah sangat mengharapkan LCS dapat diserahkan. Kalau tarikh baharu ialah April 2027, kita harap Lunas tidak ada apa-apa lagi alasan dan kelewatan.

"Kita harus faham Kementah adalah klien, bukannya kontraktor. Kita tidak membina kapal itu," katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2026 di Dewan Rakyat.