BANGKOK – Seorang lelaki maut selepas terjun dari tebing setinggi 40 meter di kawasan air terjun Pa Wai di Phop Phra semalam,  lapor laman berita Thaiger.

Mangsa dikenali sebagai Kanokphon, 25, dipercayai nekad  terjun selepas membuat janji untuk sehidup semati  bersama  teman wanitanya setelah hubungan cinta mereka tidak mendapat restu keluarga.

Menurut polis Phop Phra, kejadian berlaku apabila pasangan terbabit merancang untuk menamatkan riwayat mereka di  kawasan tinggi di atas sebuah gua di jeram tersebut.

Bagaimanapun, ketika kejadian,  hanya mangsa yang terjun ke dalam gua berair tersebut, manakala teman wanitanya membatalkan hasrat pada saat-saat akhir.

Pasukan penyelamat dan pegawai perubatan yang dikejarkan ke lokasi popular berkenaan mengambil masa beberapa jam sebelum berjaya mengeluarkan mayat mangsa.