KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk menaikkan nilai ambang kebankrapan daripada RM100,000 kepada RM150,000 bermula tahun 2027 bagi memberikan pelepasan serta perlindungan kewangan yang lebih adil kepada rakyat. Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha berterusan Kerajaan Madani sejak 2023 telah berjaya membantu lebih 250,000 individu keluar daripada belenggu kebankrapan menerusi pelbagai inisiatif pelepasan berfokus. “Bagi membolehkan lebih ramai individu bangkit semula, skop Dasar Peluang Kedua Prihatin kini diperluas kepada kumpulan sasaran baharu. “Ia termasuk penjaga utama ahli keluarga Orang Kurang Upaya (OKU), pesakit kronik, warga emas, pekerja ekonomi gig serta mereka yang berpendapatan tidak tetap,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini. Selain itu, pelaksanaan pelepasan automatik seawal tiga tahun di bawah Seksyen 33C Akta Insolvensi terus diperkasa bagi mempercepatkan proses kebebasan bankrap untuk individu yang memenuhi syarat ditetapkan. – KOSMO! ONLINE