KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan ditingkatkan kepada RM57 bilion pada 2027 berbanding RM50 bilion sebelum ini.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu dilaksanakan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan serta membantu syarikat menghadapi tekanan ekonomi.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) bersetuju menambah RM5 bilion kepada kemudahan pembiayaan sedia ada berjumlah RM5 bilion bagi membantu PKS yang terjejas susulan konflik di Asia Barat berikutan sambutan menggalakkan terhadap inisiatif itu.

Sementara itu, katanya Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) memperuntukkan RM7 bilion menerusi tujuh sektor strategik bagi menyokong pertumbuhan industri berimpak tinggi dan sektor teras pembangunan negara.