Yan: Dua beradik masing-masing berusia 37 dan 23 tahun diberikan notis untuk hadir ke Pejabat Agama Daerah Yan bagi membantu siasatan selepas didapati tidak menunaikan solat Jumaat, hari ini.

Kedua-duanya dari Kampung Sungai Daun Tengah di sini, mengaku tidak menunaikan solat Jumaat ketika diperiksa penguat kuasa agama dalam operasi hasil maklumat awam dan risikan.

Pegawai Agama Daerah Yan Syeikh Mohd Ikmal Hafif Azmi berkata, operasi itu pendekatan baharu yang dilaksanakan pihaknya bagi memastikan umat Islam menunaikan kewajipan solat Jumaat.

Katanya, operasi selepas solat Jumaat itu membabitkan 18 anggota terdiri daripada penguat kuasa agama wanita, polis wanita serta bantuan anggota Penguatkuasa Pihak Berkuasa Agama (PPA) lelaki.