KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang akan dibentangkan pada mesyuarat Parlimen akan datang bagi memperkukuh akauntabiliti platform dan penjual dalam talian selain melindungi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan daripada persaingan tidak adil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan memandang serius keresahan peniaga kecil berhubung kewujudan syarikat e-dagang asing yang memasuki pasaran negara tanpa pengawasan dan penguatkuasaan sewajarnya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan segera meneliti langkah perundangan dan penguatkuasaan bagi memastikan kepentingan PMKS tempatan terus dilindungi daripada persaingan tidak adil.

Langkah itu juga bertujuan memastikan barangan yang dibeli pengguna menerusi platform dalam talian memenuhi aspek keselamatan, sekali gus memperkukuh perlindungan pengguna dalam ekosistem e-dagang negara.