PETALING JAYA – Kerajaan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi mewajibkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah untuk membayar pampasan kepada mangsa.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan adalah sebagai langkah tegas dilaksanakan oleh kerajaan.

“Pada malam Hari Kebangsaan lalu, seramai empat orang maut termasuk sepasang suami isteri dan anak kecil mereka, dalam nahas di LPT1, Temerloh. Setakat Ogos tahun ini, sebanyak 28 kes maut akibat pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah.

“Tragedi seumpama ini menyentak sanubari kita, bahawa walaupun penguatkuasaan telah diperketat, namun pelanggaran peraturan masih lagi membimbangkan,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen hari ini.