PUTRAJAYA – Kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah kes yang disiasat, tangkapan atau pertuduhan, sebaliknya dinilai berdasarkan hasil, perubahan dan impak tindakan yang dilaksanakan.Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kerjasama antara fungsi penguatkuasaan dan pencegahan perlu terus diperkukuh.Menurutnya, ini supaya maklumat, risikan dan pengalaman dapat dikongsi serta diterjemahkan kepada tindakan yang lebih pantas, tepat dan berkesan."Tumpuan perlu diberikan kepada aspek yang berpotensi mewujudkan risiko rasuah termasuk kelemahan proses kerja, ruang budi bicara, akses kepada sumber dan keberkesanan kawalan serta mekanisme pemantauan sedia ada."Teknologi, data dan analitik juga perlu dimanfaatkan secara optimum bagi membantu SPRM mengenal pasti pola, trend dan risiko dengan lebih awal, sekali gus membolehkan tindakan pencegahan dan intervensi dilaksanakan dengan lebih tepat," katanya.Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengarah-Pengarah SPRM Bil 3/2026 di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Khamis.Abd Halim berkata, bentuk rasuah dan salah guna kuasa sentiasa berubah seiring dengan perkembangan persekitaran, teknologi dan kaedah baharu.Justeru, katanya, pendekatan SPRM juga perlu sentiasa dinamik dan responsif terhadap perubahan tersebut.Pada masa sama, beliau menegaskan keupayaan warga SPRM perlu terus diperkukuh melalui peningkatan kemahiran, keupayaan analitikal, pemahaman terhadap peruntukan undang-undang serta penghayatan nilai integriti dan profesionalisme.Abd Halim turut menggalakkan warga SPRM agar berani menyuarakan pandangan, melaporkan kelemahan serta memaklumkan risiko yang dikenal pasti bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil dengan segera."Organisasi yang kukuh ialah organisasi yang berani mengenal pasti dan menyelesaikan masalah secara terbuka, profesional dan bertanggungjawab," ujarnya.