BELANJAWAN Bayangan Kancil 2027 dikemukakan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) melalui bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, cuba tampil sebagai alternatif fiskal lebih berani, lebih struktural dan lebih berpandangan jauh.

Dokumen ini secara terang-terangan menolak pendekatan belanjawan tahunan yang bersifat 'pemadam kebakaran' dan mahu mengalihkan perbahasan kepada persoalan jangka panjang, iaitu jenis ekonomi apakah mahu dibina Malaysia untuk dua dekad akan datang.

Dokumen ini menegaskan Malaysia perlu keluar daripada pendekatan belanjawan bersifat reaktif dan sebaliknya membina kapasiti fiskal, perlindungan sosial, pasaran buruh dan institusi yang lebih tahan terhadap kejutan masa hadapan.