IPOH: Suri rumah berusia 49 tahun didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibunya di rumah mereka di Taman Wang, Menglembu, di sini minggu lalu.
Chew Loong Thye, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Norizan Riduan.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa membunuh Ching Lai Kheng, 70, di rumah di Taman Wang, Menglembu, di sini antara jam 7.15 hingga 7.30 malam, 27 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dengan sekurang-kurangnya 12 sebatan sekiranya hukuman mati tidak dikenakan, jika sabit kesalahan.






