Apabila selesai proses pengadilan ke atas seluruh manusia sehingga semua ahli syurga masuk ke dalam syurga dan semua ahli neraka masuk ke dalam neraka, Allah SWT pun mengizinkan kepada hamba-Nya yang soleh untuk memberikan syafaat. Syafaat ialah pertolongan yang diberikan kepada orang lain untuk mencapai sesuatu manfaat atau terlepas daripada sesuatu mudarat. Justeru melalui syafaat, seseorang itu boleh diangkat darjatnya, diampunkan dosanya atau dilepaskan daripada hukuman yang diterima. Antara mereka yang dapat memberi syafaat pada hari kiamatdengan izin Allah SWT ialah para anbia, malaikat dan orang Mukmin.

Baginda Nabi SAW orang pertama yang akan dapat memberi syafaat dan diterima syafaatnya. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Aku adalah penghulu anak Adam pada hari Kiamat. Juga orang pertama yang akan dibangkitkan daripada kubur, orang pertama yang akan memberi syafaat dan orang pertama yang diterima syafaatnya." (Riwayat Muslim)