KUCHING: Ketua jurulatih Kelantan City FC, Alfredo Carlos Gonzalez Machado, mempersoalkan beberapa keputusan pengadil yang menurutnya mempengaruhi perjalanan perlawanan ketika pasukannya tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas dengan agregat 1-4 kepada Kuching City FC.

Beliau mengakui ragu terhadap tiga jaringan lawan, termasuk satu gol yang didakwanya berada dalam kedudukan ofsaid dan satu lagi yang dipercayainya berpunca daripada kekasaran.

Menurutnya, keputusan berkenaan memberi kesan besar terhadap keseimbangan permainan, meskipun anak buahnya berusaha memberikan tentangan dan mencari kemenangan menerusi corak permainan sendiri.

"Saya mempunyai keraguan besar terhadap jaringan-jaringan itu, bagi gol pertama, pemain saya berada pada garisan, gol kedua pula berada dalam kedudukan ofsaid, manakala gol ketiga berpunca daripada kekasaran, perkara ini mengubah perjalanan perlawanan," katanya.