KUALA NERUS: Kerajaan Negeri Terengganu kecewa kerana tiada pengumuman mengenai sambungan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) ke Kelantan dalam Belanjawan 2027 yang diharap dapat direalisasikan bagi memperkukuh jaringan pengangkutan di Pantai Timur.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, pihaknya menjangkakan projek sambungan lebuhraya berkenaan diberikan perhatian dalam pembentangan Belanjawan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin namun sebaliknya berlaku.
“Kami kecewa kerana menjangkakan projek LPT2 ke Kota Bharu ini akan disambung atau dimasukkan dalam Belanjawan tahun depan. Bagaimanapun, kita berharap kerajaan mengambil serius keperluan membina laluan tersebut pada masa akan datang,” katanya kepada Mingguan Malaysia.









