TEMERLOH: Selepas 36 tahun mengabdikan diri merakam kisah kehidupan masyarakat, bekas wartawan Utusan Malaysia, Nazeri Nong Samah, 66, kini berdepan dugaan kesihatan apabila terlantar akibat penyakit jantung dan strok.

Anak kelahiran Kampung Durian Hijau, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang itu kini tidak mampu menggunakan kedua-dua kakinya dan memerlukan penjagaan rapi selepas kesihatannya merosot susulan terjatuh di bilik air.

Isterinya, Siti Rukiah Hashim, 64, yang tidak bekerja, kini menguruskan keperluan harian suaminya, termasuk mendapatkan barangan penjagaan dan keperluan pemulihan.

“Sejak suami jatuh sakit dan terlantar, saya yang menguruskan keperluannya setiap hari. Buat masa ini, kami sangat memerlukan bantuan untuk membeli susu berkhasiat, vitamin yang sesuai, lampin pakai buang serta peralatan bagi memudahkan penjagaannya.