BATU PAHAT: Seorang ibu tidak dapat menahan kesedihan sehingga terpaksa dipapah ketika menuntut jenazah anak perempuannya yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori di Batu 1, Jalan Yong Peng-Ayer Hitam, di sini, kelmarin.
Hairul Aziah Rahmad, 52, berkata, dia tiba lewat di lokasi kejadian sehingga tidak sempat menatap wajah anaknya, Nurmaisarah Abd Jalil, 22, buat kali terakhir.
“Saya sampai di lokasi, tengok kereta sudah tinggal rangka,” katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini, semalam.
Nurmaisarah maut bersama sepupunya, Siti Nur Batrisya Mohd. Khalid, 22, selepas Perodua Myvi dinaiki terbakar susulan kemalangan dengan sebuah lori.








