BELALANG tengok macam-macam reaksi umum selepas pembentangan Belanjawan 2027, kelmarin. Ada sibuk mengira berapa banyak dapat, ada pula mencari-cari apa yang tak cukup. Maklumlah, belanjawan ini macam membahagikan kek, tak mustahil ada yang rasa potongan untuknya kecil, tetapi kadang-kadang dapat besar pun belum tentu puas hati.

Belalang tak nafikan belanjawan memang penting untuk menentukan hala tuju ekonomi negara. Cuma janganlah terlalu ghairah dengan angka berbilion ringgit sampai lupa rakyat nak tengok apa yang benar-benar sampai ke poket dan kehidupan mereka.

Jadi apa yang penting adalah apabila sampai bab pelaksanaan nanti, Belalang harap tak ada lagi cerita projek lambat, peruntukan tak habis dibelanjakan, malah ada yang tak turun-turun, entah tersangkut dengan mana.