KOTA BHARU: Sesebuah warisan tidak semestinya hilang apabila pentasnya ditutup, muziknya berhenti atau persembahannya semakin jarang disaksikan.
Ada kalanya, warisan itu mula lenyap apabila tiada lagi generasi yang mahu mempelajarinya, memahami maknanya dan meneruskan legasi yang ditinggalkan.
Itulah cabaran yang perlu diberi perhatian dalam usaha memastikan seni Mak Yong, yang begitu sinonim dengan identiti budaya Kelantan, terus bertahan dalam arus pemodenan.
Di sebalik cabaran itu, muncul 43 kanak-kanak yang kini menjadi harapan baharu untuk memastikan seni tradisional berkenaan tidak luput ditelan zaman.









