KOTA BHARU: Seorang ahli perniagaan wanita dari Kelantan yang Jeep Wrangler miliknya bernilai hampir RM500,000 disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sudah memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan kenderaan berkenaan.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, berkata wanita itu membuat pembayaran bagi memperbaharui LKM pada awal minggu ini.
"Selepas pembaharuan itu dibuat, beliau dibenarkan mengambil semula Jeep Wrangler miliknya semalam," katanya.
Sementara itu, ahli perniagaan berkenaan menerusi hantaran di akaun TikToknya menjelaskan bahawa beliau hanya lewat memperbaharui cukai jalan selama sebulan.
Beliau turut menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya cukai jalan kenderaan berkenaan tidak diperbaharui sejak 2014.






