Varian pesawat FA-50M jauh lebih canggih dan berkeupayaan tinggi berbanding FA-50 yang dikendalikan Tentera Udara Korea Selatan serta negara lain antaranya Thailand, Filipina dan Indonesia. (Gambar Wikipedia)KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka menerima pesawat tempur ringan FA-50M buatan Korea Aerospace Industries mengikut jadual yang ditetapkan, kata Menteri Pertahanan Khaled Nordin.

Beliau berkata tarikh sebenar ketibaan pesawat berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Mengikut jadual, pesawat itu akan tiba bulan ini atau bulan depan, tarikh (sebenar) ia akan tiba, nanti saya umumkan, setakat ini saya tidak menerima apa-apa maklumat terdapat penangguhan penghantaran pesawat berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027.