WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam mengugut untuk mengenakan 'caj' lebih tinggi terhadap Korea Selatan jika negara itu tidak bersetuju melabur dalam projek gas asli cecair (LNG) di Alaska, lapor Agensi Berita Yonhap.
Namun, masih tidak jelas apa 'caj' yang dimaksudkan oleh beliau itu.
Sebelum ini, Trump mendakwa bahawa Korea Selatan akan menyertai pelaburan berkenaan.
Kenyataan itu dibuat pada sidang media di Rumah Putih, dua hari selepas beliau mendedahkan pakej pertama projek pelaburan AS di Korea Selatan bawah perjanjian perdagangan dua hala pada tahun lalu - yang menurutnya terdiri daripada projek LNG, pembinaan loji jana kuasa gas di Texas dan lapan loji tenaga nuklear berskala besar.









