PORT DICKSON: Seorang lelaki maut, manakala isteri dan anak perempuannya cedera selepas kereta Perodua Myvi dinaiki tiga beranak itu bertembung dengan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki di bawah pengaruh alkohol di Kilometer 13.5, Jalan Lukut–Sepang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Ahmad Afiq Mohd Adnan berkata dalam kejadian 6.50 petang, pemandu kereta berusia 35 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala isterinya berusia 32 tahun dan anak perempuan mereka berusia lima tahun cedera.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori dipandu lelaki berumur 46 tahun dari arah Lukut menghala ke Sepang dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung kereta tersebut.






