KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan dan diniagakan dalam julat RM4.07 hingga RM4.08 berikutan data pekerjaan AS yang lebih lemah berbanding jangkaan boleh menguatkan kemungkinan untuk Rizab Persekutuan AS (Fed) tidak menaikkan kadar faedah pada bulan ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata data terkini pasaran buruh AS berpotensi memberi tekanan kepada dolar AS dan menyokong pengukuhan ringgit.

Beliau berkata, jumlah guna tenaga bukan ladang (NFP) di AS meningkat sebanyak 29,000 pada September, lebih rendah daripada jangkaan pasaran sebanyak 89,000 pekerjaan manakala kadar pengangguran menokok kepada 4.2 peratus.