KUALA LUMPUR: Terberg Tractors Malaysia (TTM) membekalkan lebih 8,000 traktor terminal buatan Malaysia kepada pelanggan di lebih 50 negara sehingga akhir Jun lalu, sekali gus memperluaskan jejak pengeluaran tempatan ke pasaran global.
Traktor terminal yang dihasilkan di kemudahan syarikat di Pasir Gudang, Johor itu dieksport ke pasaran merentasi Asia Pasifik, Asia Barat, Afrika dan benua Amerika.
Kemudahan berkenaan kini berfungsi sebagai pusat serantau Terberg bagi Asia Pasifik, merangkumi aktiviti pembuatan dan pemasangan, pengurusan rantaian bekalan, pengedaran serantau, sokongan produk serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Ia mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 1,000 unit setahun dan disokong sepenuhnya oleh tenaga kerja tempatan membabitkan 300 rakyat Malaysia.






