PETALING JAYA: Sudah 37 hari berlalu sejak Muhammad Haziq Ismail, 36, gagal dihubungi susulan bencana banjir di Nepal, namun keluarganya masih menanti khabar mengenai keberadaan lelaki itu.

Kakaknya, Nurizzati menerusi hantaran di Threads hari ini berkata, keluarga terus mengingati Haziq yang disifatkan sebagai seorang adik yang bijak, suka bergurau dan sering menceriakan suasana bersama ahli keluarga.

“Sudah 37 hari berlalu tanpa sebarang khabar daripada adik kami, Haziq, kami akan terus mengingati adik yang seorang ini.

“Dia seorang yang sangat bijak, lucu, kacak dan suka mengusik adik-beradik serta anak-anak buah. Ada sahaja idea yang dicetuskannya,” katanya dalam hantaran berkenaan. 

Nurizzati turut berkongsi perbualannya bersama Haziq yang pernah menyatakan hasrat untuk membuka sebuah kedai kopi bersama keluarga selepas perniagaannya mencapai kejayaan.