PUTRAJAYA – Polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat pemilik sebuah akaun media sosial yang mengubah gambar jurugambar dan wartawan menjadi lembu ketika menjalankan tugas membuat liputan kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pusara Negara di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed mengesahkan perkara berkenaan ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya sini tadi.
Katanya, kertas siasatan itu dibuka selepas pihaknya menerima laporan polis yang dibuat Kelab Media Putrajaya (KMP) hari ini.
“Siasatan akan dibuka ikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Terdahulu, KMP membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7, selain mengemukakan aduan secara dalam talian kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.








