PERMATANG PAUH : Saluran darah di bahagian jantung yang tersumbat dikenal pasti sebagai punca kematian seorang lelaki yang mayatnya dijumpai dalam keadaan berbalut dengan kain dalam longkang berhampiran sebuah kedai makan di Pasar Awam Sama Gagah di sini, pagi tadi.

Pengesahan itu dibuat oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah selepas mayat tersebut dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat berkenaan kira-kira pukul 7.30 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa tersebut merupakan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun dan telah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan dari HSJ.