London: Arsenal meledak tiga gol dalam tempoh tujuh minit pada babak kedua untuk menewaskan Lille 3-0, sekali gus meneruskan rekod kemenangan sempurna dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Jurrien Timber membuka jaringan menerusi penyudah menarik sejurus selepas sejam permainan di Stadium Emirates sebelum Eberechi Eze dan Bukayo Saka melengkapkan kemenangan selesa tuan rumah.

Kemenangan itu membolehkan Arsenal berkongsi kedudukan teratas carta UCL bersama Barcelona dan Sporting Lisbon.

Pengendali Arsenal, Mikel Arteta memanfaatkan kekuatan skuadnya apabila membuat lima pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding pasukan yang menewaskan Leeds 2-1 pada Sabtu lalu.