PETALING JAYA: Empat individu yang mendakwa sebagai Undang Negeri Sembilan, bersama Tunku Besar Tampin, mempertahankan tindakan mereka melucutkan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar, mendakwa baginda melanggar peruntukan Perjanjian 1898.
Kumpulan pembesar itu mendakwa, Tuanku Muhriz melanggar dua fasal dalam perjanjian tersebut kerana campur tangan dalam hal ehwal adat di luak masing-masing, selain melayan aduan terhadap Undang yang dilantik mereka.
Mereka turut mendakwa, Tuanku Muhriz mendengar aduan terhadap individu yang mendakwa dirinya Undang Rembau, Abdul Rahim Yasin, daripada kumpulan seteru yang menyertai pemilihan Undang tersebut.






